Galak berkarya melalui amalan membaca




Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said







BERAKAS, Selasa, 23 April. - Hari Buku Sedunia diisytiharkan pada setiap 23 April setiap tahun oleh UNESCO (United Nation Educational, Scientific and Cultural Organization) dengan matlamat bagi menggalakkan budaya membaca, penerbitan dan pemeliharaan hak cipta buku.


Bagi mendukung hasrat berkenaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bergerak ke hadapan bagi mengadakan Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 di Balai Sarmayuda, DBP, hari ini.


Terdahulu, Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Pengiran Hajah Rosenani binti Pengiran Haji Halus dalam ucapan alu-aluannya berkata adapun objektif sambutan ini diadakan adalah untuk menggalakkan berkarya melalui amalan membaca kerana kita percaya bahawa melalui pembacaan, keyakinan diri apabila berhadapan dengan khalayak dapat dibina dan mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi.


Sambutan jelasnya, juga bertujuan untuk memperkasa budaya membaca yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutama golongan kanak-kanak bagi meneroka dan menikmati keseronokan membaca buku dan seterusnya menggalakkan setiap organisasi untuk terlibat sama menyediakan sudut bacaan sebagai usaha menggalakkan budaya membaca dan menanamkan sikap cintakan ilmu melalui aktiviti yang berkaitan dengan pembacaan.


Majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 ini merupakan antara usaha besar dan strategik DBP untuk memberikan inspirasi kepada masyarakat dalam mencintai buku dan gemar membaca khususnya dalam kalangan kanak-kanak.


Usaha ini juga merupakan upaya jabatan dalam menekankan lagi kepentingan membaca sebagai jambatan ilmu kepada semua kalangan masyarakat. Antara objektif sambutan ini diadakan adalah untuk memperkasa budaya membaca yang berterusan dalam kalangan masyarakat, menggalakkan masyarakat terutama kanak-kanak meneroka dan menikmati keseronokan membaca buku, mendedahkan kepada generasi muda tentang peri pentingnya membaca buku, menggalakkan masyarakat berkarya melalui amalan budaya membaca yang dapat membina keyakinan diri dan mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi apabila berhadapan dengan khalayak ramai.


Sambutan ini juga bertujuan untuk menyuntik budaya membaca terutamanya generasi muda dan menanamkan sikap cintakan ilmu melalui aktiviti yang berkaitan dengan pembacaan.


Majlis juga diserikan dengan sebuah Program Ceramah Motivasi bertajuk, 'Seindah Bicara' yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada panel ceramah motivasi.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit; pengarah-pengarah di bawah KKBS, pengetua dan guru besar, para penuntut, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, penulis dan penggiat sastera tanah air.


Close